Wednesday, September 9, 2015

Salam Perkenalan



Assalamualaikum. Syukur, syukur dan syukur sangat saya kepada Allah swt kerana memberi saya peluang kepada saya membina blog untuk saya berkongsi cerita, pengalaman, fesyen dan tip-tip perniagaan. Insya Allah, moga Allah beri saya kekuatan untuk meneruskan perkongsian ini.




Sebelum saya melangkah lebih jauh, adalah lebih manis agar kita dapat berkenalan dulu. Nama penuh saya Noorzeela Lamin. Saya dikenali sebagai Zeela Lamin. Ibu kepada jiwa-jiwa yang comel iaitu Muhamad Danial dan Muhamad Irfan. Isteri kepada Mohd Faizal.




Dahulu, saya bekerja sebagai kerani di Maybank selama 15 tahun. Banyak pengalaman dan pengetahuan yang saya dapat sepanjang saya bekerja di sana. Saya bekerja di cawangan bank di mana ianya memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Bukan mudah menguruskan pelanggan tetapi saya sukakan cabaran menyelesaikan masalah pelanggan. Secara tidak langsung, dari hari ke sehari, ianya membina keyakinan diri yang tinggi, membina skil komunikasi saya dan membina daya kepimpinan saya. Berikutan itu, saya pernah dilantik sebagai komiti pekerja di cawangan saya dan dilantik sebagai Exco bagi kesatuan dalaman di bank saya bekerja.

Semasa saya bekerja dahulu, saya pernah membuat bisnes secara sambilan. Ianya bermula disebabkan minat dengan gubahan hantaran seperti mengubah hantaran, sirih junjung, bunga telur, bunga pahar dan pelbagai lagi. Ianya berlaku tanpa disedari pada saat saya melangsungkan perkahwinan di mana segala persiapan perkahwinan saya dan suami dibuat oleh saya sendiri termasuk hiasan bilik dan rumah juga. Ramai yang memuji dan bermulalah permintaan servis tersebut. Selepas itu saya melangkah ke bisnes yang sama nichenya dengan gubahan iaitu hamper. Setiap musim perayaan, maka saya mula membuat hamper dan penghantaran di pejabat-pejabat kerajaan.

Langit tak selalu cerah. Pada tahun 2013 sesuatu telah menimpa saya. Saya terpaksa mengambil cuti sakit. Dalam tempoh saya cuti sakit itu, saya lihat seperti tiada harapan untuk saya kembali bekerja kerana penyakit saya yang kerap datang dan pergi. Saya buntu sehingga saya terlihat iklan Irfan Khairi, maka saya mendaftarkan diri saya mengambil Diploma Eksekutif Perniagaan Internet dan Media Sosial Strategi. Memandangkan kelasnya hanya dijalankan secara online dan perjumpaan kelas hanya sebulan sekali, maka saya menganggap saya mampu lakukan.



Tidak pernah terfikir bahawa saya akan memulakan perniagaan online tetapi dalam tempoh pengajian, saya belajar selok belok perniagaan online. Saya membina branding perniagaan sendiri iaitu ARAMAYA dan mendaftarkan perniagaan di SSM kerana serius dalam perniagaan. Pada awal perniagaan saya menjual jubah-jubah muslimah yang dibuat oleh saya sendiri. Pada pertengahan perniagaan, saya menghadapi masalah tindakan tatasusila pekerjaan kerana masih lagi pekerja dan yang paling menyedihkan adalah kebankrapan yang terpaksa dihadapi oleh saya akibat kecuaian kesatuan. Saya terhenti di situ dan terasa bagai sudah jatuh ditimpa tangga.





Ramadhan 2015 adalah tarikh yang saya sangat bersyukur pada Ilahi. Kebankrapan saya telah selesai. Nama saya bersih dari kebankrapan. Syukur alhamdulillah. Saya masih ingat lagi, seminggu selepas selesai masalah ini, saya terus hubungi Puan Masayu untuk mempelajari teknik penulisan. Saya terlalu teruja walaupun terlalu banyak urusan yang perlu saya selesaikan selepas kebankrapan itu. Pada masa itu, saya bagai ingin membuat semua kerja dalam satu masa. Saya daftar dengan Puan Masayu kerana saya sedari penulisan bukan mudah walaupun dianggap mudah. Masih lagi ada kelemahan yang perlu saya perbaiki untuk memantapkan lagi perniagaan online saya. Saya gembira dan bersemangat untuk bangkit semula. Saya kini kembali mengaktifkan ARAMAYA saya. ARAMAYA adalah butik yang menampilkan koleksi muslimah buat mereka yang memilih kepada koleksi yang SIMPLE, ELEGEN DAN KUALITI. Saya juga kini membuat kelas jahitan mudah seperti jubah moden dan juga membuat kraftangan seperti shawl pin dan brooch.

Saya sangat minat perkara yang berkaitan dengan kewangan, hartanah, seni dekorasi seperti membuat hantaran perkahwinan, shawl pin, brooch. Saya juga meminati design baju, menjahit baju,fesyen, kecantikan dan juga pemasaran internet. Baru saja mengikuti kelas Diploma Eksekutif Perniagaan Internet dan Media Sosial Strategi bersama Irfan Khairi tetapi masih lagi mencari ilmu dan selok belok pemasaran internet lebih-lebih lagi pemasaran internet semakin pantas berubah.

Matlamat jangka pendek saya mengikuti kelas ADBR ini adalah untuk mengusai sepenuhnya penulisan. Disamping penulisan saya, saya ingin mereka diluar mengenali saya dengan lebih dekat. Catatan saya adalah perkongsian saya.

Matlamat jangka panjang saya adalah untuk membina satu silaturahim baru di ADBR. Bimbingan dan perkongsian dari semua ahli yang berada di sini amat bermakna buat saya.

Semoga catatan di blog saya akan lebih bermanafaat buat semua dan dapat memanjangkan silaturrahim sesama kita. Insya allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment