Tuesday, October 13, 2015

Bagaimana Ingin Berjaya Dalam Bidang Jahitan


Bismillahirahmanirahim.


Hari ini saya nak berkongsi sedikit perkongsian pengalaman saya. Apa yang membuatkan saya tidak jemu dan masih meneruskan perniagaan yang sama. Walaupun kejayaan besar dan matlamat belum lagi saya capai, tetapi keyakinan yang tinggi dan matlamat semakin jelas selepas menuntut ilmu.


Perkara pertama yang membuatkan saya meneruskan perniagaan ini adalah kerana minat. Minat itu sangat penting dalam mengekalkan momentum kita dalam apa saja yang kita lakukan.


Barangkali ramai yang tidak memandang tinggi kerjaya seorang tukang jahit. Ramai yang tidak hiraukan kewujudan mereka walaupun kepentingan mereka tidak boleh diketepikan. Mereka sangat penting. Andai tiada mereka, pasti kita tidak berpakaian. Betul tak?


Di sini, saya ingin memberi beberapa tip dan panduan bagaimana anda ingin berjaya dalam bidang jahitan.


Pertama : Anda perlu belajar. Teruskan pembelajaran. Jangan hanya bergantung kepada Sijil Kemahiran Mara (SKM) kerana ilmu jahitan berkaitan kuat dengan fesyen. Fesyen berubah pantas. Terlalu pantas. Barangkali anda tidak mampu terkejar.


Kedua : Tetapi andai anda kekurangan modal dan tiada masa untuk belajar menjahit, pilih fesyen apa yang menjadi kegilaan ramai. Trend terkini adalah muslimah fesyen. Fesyen barat kini juga telah cenderung ke arah muslimah fesyen. Memilih trend dan fesyen mampu memberi impak dalam menjana pendapatan.


Ketiga : Belajar untuk design. Anda percaya tak bahawa setiap tukang jahit mempunyai kebolehan mendesign? Benar. Ramai yang tidak sedar kebolehan masing-masing. Mungkin kerana ramai yang menjahit di satu sudut ruang rumah yang memperlihatkan tiada jaminan kejayaan, maka mereka merasa merendah diri akan kebolehan masing-masing. Anda sebenarnya adalah NEXT TO DESIGNER. Jangan memandang rendah kepada diri sendiri.


Keempat : Belajar ilmu perniagaan dan pemasaran. Ini juga sangat penting. Kebanyakan mereka yang memulakan perniagaan jahitan adalah mereka yang bermula dari rumah. Memilih pemasaran online adalah satu pilihan. Oleh itu, anda sentiasa perlu meng'upgrade' diri mengenai pemasaran online. Andai anda tiada asas ini dan mengharapkan orang lain untuk membantu. Mungkin tanpa anda sedar, anda akan ditipu mereka. Berhati-hati.


Kelima : Belajar ilmu pensyarikatan. Anda perlu memasang angan-angan dan niat yang betul. Ramai yang beranggapan bahawa mereka perlu menjadi tukang jahit seumur hidup mereka. Ini anggapan yang salah. Jika anda mempunyai anggapan ini, pasti anda akan berhadapan dengan perasaan kekecewaan dan anda berhenti dari bidang ini. Mengapa saya mengatakan begini adalah kerana, jahitan yang berkualiti akan memberi permintaan yang banyak. Kita tidak mampu melakukan seorang diri. Anda pasti kepenatan. Belajar menghulurkan kerja anda kepada yang lain. 


Keenam : Belajar branding. Perkara ini sangat penting untuk anda mendaki tangga-tangga kejayaan. Anda tidak akan mampu berjaya andai anda tidak meletakkan branding dalam perniagaan anda. Anda bakal berlawan harga andai tiada branding. Apakah branding? Banyak maksud andai ingin diceritakan maksud branding tetapi yang lebih jelas dan mengangkat branding anda adalah NILAI. Jadi, mulakan dengan branding.


Ketujuh : Pilih branding yang betul. Ramai yang beranggapan bahawa branding ini sekadar pilih nama dan gunakan microsoft word untuk membuat nama lalu kita pamerkan branding kita. Atau ramai yang ingin jimat kos, lalu mencari yang murah untuk logo mereka. Ini juga salah. Cari yang mahal tetapi perhatikan contoh kerja mereka sebelum bersetuju. Kita mencari design yang menepati ciri-ciri design yang berkualiti. Sekiranya design yang ditawarkan menepati ciri-ciri tersebut, harga adalah nombor dua.


Kelapan : Jawab 4 soalan di dalam post saya sebelum ini. Andai anda gagal menjawab 4 soalan ini, maka anda akan lihat perniagaan anda bakal menuju kepada kegagalan.


Kesembilan : Mesti mempunyai cita-cita yang besar. Sebagai seorang Tukang Jahit, anda perlu memasang cita-cita yang besar. Kini anda telah berjaya pelajari kemahiran memotong dan menjahit pakaian, ambil langkah seterusnya. Belajar pula ilmu FASHION DESIGNER. Seperti yang saya katakan di awal tadi, apabila anda belajar ilmu jahitan anda adalah NEXT TO DESIGNER.


Kesepuluh : Penting dalam apa saja perkara yang dilakukan adalah BERTAHAN, BERKEMBANG dan BERTERUSAN. 


Itu saja perkongsian saya. Mari kita bina kejayaan sama-sama. Tiada jalan pintas untuk berjaya. Jangan pernah putus asa.

Ikuti kelas JAHIT BY ARAMAYA. Layari FB Page ARAMAYA bagi maklumat sepenuhnya.