Wednesday, September 9, 2015

Kisah Saya dan Danial


Hari ini seawal jam 7.00 pagi saya dah keluar rumah. Anak saya yang sulung dah meningkat dewasa. Tahun ini menduduki peperiksaan UPSR. Maka, untuk hari ini jadual Danial memang padat. Pukul 8.00 pagi ada kelas tambahan. Habis jam 12.30 tengahari. Pukul 2.00 petang pula Danial Faizal ada tuisyen.

Sepatutnya tuisyen sampai pukul 7.30 malam tetapi Danial perlu pulang awal jam 4.00 petang untuk tuisyen yang lain pula sehingga jam 5.30 petang. Kesian anak saya. Penat barangkali. Sudah sebulan lebih tuisyen 7 hari seminggu.

Sebelum itu taklah terlalu penuh jadualnya. Hanya tuisyen hari Khamis dan Jumaat tapi masa saya hendak daftarkan Irfan...ehhh bukan Irfan Khairi😜 tapi Muhamad Irfan anak saya.

Masa nak daftarkan anak saya tu di pusat tuisyen, mereka beritahu tentang program intensif sehingga tibanya UPSR. Waktu itu saya pergi bersama dengan anak saya, Danial. Saya tanya Danial nak ke sebab saya tengok dia macam nak tapi barangkali risau yang mamanya boleh ke nak bayar. Danial anak yang baik. Dia sentiasa memahami situasi. Saya terus cakap jangan risau tentang tu. Kalau nak mama daftar ye. Saya tak paksa Danial pun tapi dia sendiri yang nak dan dia sangat teruja dan bersemangat. Bila uncle tu tanya paper apa yang you lemah. Dia terus jawab penulisan.

Saya tahu Danial adalah seorang yang sukakan challenge dalam apa yang dia buat. Kalau balik sekolah atau tuisyen dia akan selalu beritahu saya keputusan ujian dia atau markah dia dengan kawan-kawan dia. Kalau kawan-kawan dia dapat markah tinggi daripada dia mesti dia sedih bila balik rumah. Nanti dia akan cakap, mama Danial nak belajar kejap la. Markah Danial tak okey. Dan dia akan duduk dalam bilik untuk buat latihan dan menghafal.

Apa yang mengkagumkan saya adalah daya ingatan dan hafalan Danial memang sangat kuat. Dia boleh hafal dengan sangat cepat. Tetapi Danial bukan jenis yang suka nak menunjuk. Dia akan sentiasa bersikap seperti tak tahu apa-apa. Saya selalu cakap dengan Danial. Danial very good dalam hafalan. Rugi kalau Danial tak boleh dapat A dalam result Danial.

Setiap hari saya selalu beritahu Danial. Bukan hanya Danial tetapi Irfan juga untuk belajar rajin kalau tak nak hidup susah. Walaupun ia bukan jaminan untuk hidup senang tetapi untuk berjaya perlu ada ilmu.

Bukan mudah untuk beritahu anak-anak apa maksud kata-kata itu sebab mereka bukannya faham apa maksud hidup. Kita pun pernah seusia mereka kan, jadi kita pun tahu apa yang mereka fikirkan. Jadi untuk memudahkan mereka faham, saya selalu jadikan situasi untuk mereka berfikir.

Bila jalan dan saya nampak orang yang kerja sapu sampah dan angkat sampah, saya akan tanya anak saya, Danial dengan Irfan nak kerja macam tu tak? Secara spontan mereka akan jawab tak nak. Saya terangkan pada anak-anak saya yang pekerjaan tu tak hina malah mulia sangat sebab ianya pekerjaan yang halal. Tetapi hidup ni sentiasa ada pilihan. Nak hidup senang atau nak hidup susah. Jadi kalau tak nak kerja susah macam tu memang kena belajar rajin-rajin. Allah kan dah kata, nak dunia perlukan ilmu, nak akhirat pun perlukan ilmu. Danial dan Irfan angguk tanda setuju.

Tetapi adakalanya anak-anak lupa janji mereka. Adakalanya mereka leka dengan mainan dan hiburan. Manusia kan bersifat pelupa. Jadi saya perlu sentiasa ingatkan berulang-ulang kali. Ianya memang memenatkan apatah lagi kita sebagai seorang ibu yang letih dengan tugasan harian di rumah yang sentiasa menggunakan tenaga.

Ingatan tidak berakhir di situ saja. Saya juga akan sentiasa ingatkan Danial dan Irfan. Solat Danial, solat Irfan, nanti Allah tak sayang kita, Allah tak beri apa yang Danial dengan Irfan nak. Allah pun tak nak beri syurga. Kalau Danial dengan Irfan tak solat pun, kesian papa dengan mama kena bakar. Tak sayang papa dengan mama ke? Sanggup ke nak bakar papa dengan mama?

Danial dengan Irfan lemah je nak solat. Adakalanya terlalu menepati waktu. Tapi bila saya cakap ayat sanggup ke nak bakar papa dengan mama? Diorang cepat-cepat masuk bilik air ambil wuduk...lucukan dan comel sangat gelagat mereka.

Saya selalu cakap dengan mereka, tak guna kalau kita pandai tapi tak solat sebab Allah tak sayang, nak buat apa? Nanti dua-dua adik beradik ni akan sakat menyakat kata hahh dengar tu, dengar tu. Saya senyum saja lihat gelagat mereka.

Ia, ianya bukan mudah mendidik anak-anak. Perlukan kesabaran. Adakalanya terasa nak biarkan je la. Pandai la diorang nanti. Tapi mana mungkin. Mereka ibarat kain putih. Suci dan tiada dosa. Tak faham mengapa dilahirkan di dunia. Tak faham mengapa perlu sujud. Tak faham mengapa perlu ada ilmu. Tak sama didikan sekolah dengan didikan ibubapa.

Kini Danial sendiri pun dah pandai Solat Dhuha dan Solat Hajat sendiri. Saya senyum sendiri bila Danial beritahu saya. Airmata bergenang terasa nak gugur airmata saya. Sepanjang bulan Ramadhan hari itu, selesai solat Subuh, Danial dan saya akan solat Hajat sama-sama. Saya gembira dengan semangat Danial. Dia cakap dia nak dapat 5A. Saya senyum.

Masya Allah, dia minta pada Allah. Saya gembira sangat. Saya cakap dengan Danial. Danial dah usaha dan minta pada Allah, serah sepenuhnya pada Allah lepas ini. Kalau tak dapat 5A pun tak apa Danial. Yang penting usaha dan minta pada Allah. Danial angguk tanda faham.

Mama doa yang terbaik untuk Danial. UPSR semakin tiba. Selamat berjaya dunia akhirat ye Danial.

#catatanharian
#UPSR
#mamasayangdanial

No comments:

Post a Comment