Sunday, May 14, 2017

Cara Kami Beli Rumah Pertama

Ramai yang pm saya tanya saya bagaimana nak beli rumah dalam usia muda. Terus terang cakap. Ianya tak mudah tetapi ianya mudah juga sebenarnya.

Mengapa saya kata mudah? Mudah apabila kita pandai urus kewangan kita. Sebab itu peranan ibubapa juga penting dalam membantu anak-anak kita lihat hala tuju anak-anak. Ibubapa juga penting dalam mendidik anak-anak tentang masa depan. Ilmu ini kita tidak dapat diluar.

Pendapat saya lagi, ibubapa yang sentiasa berbicara tentang matlamat dan masa depan anak-anak adalah ibubapa yang benar-benar sayangkan anak mereka. Percayalah, anak-anak kita tidak tahu bagaimana hala tuju hidup mereka. Mereka tidak tahu apa yang sebenarnya harus mereka lakukan. Mereka hanya go with the flow. Ibubapa yang sentiasa mendidik anak-anak tentang masa depan adalah ibubapa yang luar biasa bagi pendapat saya.

Seperti saya, saya tiada diberi kesedaran tentang perkara ini sejak kecil. Saya juga seperti remaja lain yang tidak tahu hala tuju. Hanya go with the flow. Orang belajar, saya nak belajar. Orang kerja, saya nak kerja. Orang kahwin, saya pun nak kahwin. Oleh kerana itu, saya memahami perasaan setiap orang muda kini masih tidak tahu apa yang perlu dan penting mereka lakukan.

Walaupun saya masih samar-samar tentang masa depan saya, tetapi saya meletakkan azam yang tinggi apabila saya mula mendapat pekerjaan. Azam saya pada masa itu adalah sambung belajar dan beli rumah. Ya, itulah azam saya pada tahun 1998 saya mula bekerja di Maybank. Pada waktu itu, usia saya 18 tahun. Saya juga bukan berjawatan tinggi. Hanya seorang kerani Maybank. Gaji pada waktu itu saya dapat adalah RM925. Hahh, saya masih ingat lagi. Sikitkan. Lagi sikit dari budak kerja di Starbuck kini.

Bagaimana gaji saya sebanyak ini pun saya boleh merancang untuk membeli rumah? Mudah saja jawapannya. Saya benar-benar ikat perut. Anehnya ketika itu, duit sebanyak itu saya mampu bayar sewa rumah, makan minum (nasib baik saya jenis tak kuat makan), bagi mama dan adik-adik duit. Cukup ke? Tak cukup sebenarnya. Pada waktu itu, bank memang banyak kerja. Jadi overtime memang membantu. Tetapi saya ini memang jenis kuat bekerja. Andai ketika itu tiada overtime, saya akan mencari kerja tambahan. Asalkan pendapatan yang halal.

Ketika itu, saya bekerja bermula jam 7.30 pagi sehingga 8.00 setiap hari. Penat. Saya tiada masa untuk bersuka ria. Hidup saya adalah kerja dan hari minggu saya belajar. Bagi saya berjaya mencapai hasrat saya, saya menyimpan. Pada waktu itu saya memilih ASB Loan. Berbaloi cara ini andai anda masih muda yang tiada komitmen hutang.

Semasa bekerja, saya juga bertemu jodoh di sana. Juga seorang berpangkat biasa saja ketika itu. Kami bercinta dan bertunang. Dalam tempoh pertunangan tersebut, saya nyatakan hasrat saya untuk membeli rumah sebelum berkahwin. Pendek kata dia pun setuju. Sebelum kami beli rumah, kami juga beli kereta. Kami pilih untuk membeli kereta yang biasa saja. Kami beli kereta second hand. Kereta Iswara saja. Tak ranggikan! Dan tak bergaya. Tapi kami tak kisah. Bagi kami dah ada yang asas pun dah cukup.

Tahun 2000 kami mula mencari rumah. Tunang saya kata mana ada duit. Saya cakap;

"Takpe, saya ada sikit duit simpanan. Kita guna dulu. Selebihnyakan boleh ambil loan"

Merata kawasan kami mencari. Dari Cheras ke Bangi. Dari Bangi ke Kajang. Akhirnya kami memilih untuk membeli di Sungai Buloh. Budget rumah yang saya cari ketika itu adalah dibawah RM160,000. Tak boleh lebih. Untungnya ketika itu saya bekerja di Maybank, lepas 3 bulan bekerja, kita dah boleh gunakan benefit pekerja.

Sekiranya saya tidak bekerja di bank, pastinya saya akan mencari rumah dibawah RM80,000 saja kerana kemampuan gaji saya ketika itu sangat rendah. Pesan saya, siapa nak cari rumah, carilah mengikut kemampuan.

Ok, selepas kami bayar booking, saya dan tunang saya ketika itu berbincang hendak gunakan loan siapa. Setelah itu, kami sepakat untuk menggunakan loan tunang saya, kini suami sayalah. Mengapa saya setuju sedangkan duit booking saya yang bayar. Mudah jawapannya. Kerana saya percaya kepada dia. Dia memang seorang yang baik. Saya katakan padanya;

"Takpe, pakai loan awak. Lepas kawin saya pun nak beli rumah saya sendiri juga. Rumah tu kita buat untuk sewa"

Dia pun setuju. Selesai pilih jenis rumah, kami terus ke bank kami bahagian pinjaman. Biasanya, kita perlu bayar 10% dan bakinya baru akan dibuat pinjaman bank. Tetapi disebabkan kami pekerja Maybank, kami perlu membayar 5% sahaja.

Harga rumah ketika itu yang kami dapat adalah RM164,000. Jika 10% bermakna RM16,400 dan jika 5% hanya RM8,200. Bank kata boleh keluar EPF, maka kami bergegas ke EPF untuk semak baki akaun. Kami sangkakan baki kami cukup untuk bayar 5% dan yuran guaman. Apabila kami lihat baki akaun 2, kami berdua termenung. Dia pandang saya, saya pandang dia. Dia tanya saya;

"Macam mana ni? Tak cukup" Saya diam sebab saya tiada jawapan.

"Jom la balik bank" kata saya. Saya sambung kerja sambil kepala ligat berfikir solusinya.

"Yesss!!" Kata saya. Saya dah tahu bagaimana.

Habis saja kerja, kami jumpa dan bincang. Saya beritahu;

"Ok, macam ni, saya ambil personal loan bank rakyat. Saya ambil RM10,000 dan tempoh bayaran yang pendek. Kita kongsi bayar"

Saya mengeluarkan idea berani saya, tetapi saya berani kerana saya kenal dia. Tetapi wanita di luar sana jangan berani ikut cara saya sekiranya anda belum betul-betul kenal pasangan anda. Bahaya.

Dipendekkan cerita. Kami sepakat dan akhirnya kami berjaya membeli rumah pertama kami. Apa yang saya boleh katakan di sini, setiap apa yang nak dicapai, pasti ada pengorbanan. Untuk saya mencapai impian saya membeli rumah, saya korban masa remaja saya.

Kawan-kawan lain dapat bonus, bercuti di luar negara. Kami hanya mampu dengar saja cerita mereka. Dapat gaji kawan-kawan ajak makan restoran mewah, kami hanya makan di warung dan gerai sahaja. Nak mewah pun setakat makan Mc Donald je la. Kawan-kawan beli baju mahal, saya beli baju di Hari-Hari. Nak beli baju mahal pun saya tunggu sale akhir tahun. Design dah outdated. Saya tak kisah. Saya bukan wanita yang suka meminta-minta juga. Saya tak kisah pun kalau dia tak belikan saya bag jenama Guess (dulu hot la, sekarang orang dah tak heran dah).

Disebabkan kami berbelanja biasa-biasa saja, kami mampu mempunyai 2 rumah walaupun gaji kami tidak besar.

Sekian catatan saya.

Zeela Lamin
Perunding Hartanah
Propland Agensi

No comments:

Post a Comment