Saturday, May 13, 2017

Terima Kasih En. Suami

Hari ini seawal jam 5.00 pagi saya telah bangkit dari tidur. Awal sikit dari biasa. Alya masih lagi tidur di sisi saya. Saya bangkit dan hadang Alya dengan bantal supaya tidak jatuh. Badan saya penat. Kaki saya sakit tetapi saya gagahkan juga diri. Saya melangkah perlahan ke bilik air. Basuh muka dan mengambil wuduk. Kemudian saya lakukan rutin seperti biasa.

Jam 7.00 pagi saya turun ke bawah dan onkan mesin basuh. Basuh baju dahulu. Dari bawah saya terdengar suara Alya. Segera saya berlari ke atas mendapatkan Alya. Dia ingin susu. Saya baring di sebelah Alya sambil menyusukan Alya. Tanpa saya sedar, saya turut tertidur sama.

Kemudian saya terjaga jam 9.00 pagi. Bergegas saya turun ke bawah dan sediakan air mandi Alya. Alya juga terjaga dari tidurnya. Saya tahu ini masa mandi dia. Selagi tidak mandi, Alya akan bising mulutnya.

Danial pula sudah keluar. Katanya nak ngeteh dengan kawannya. Masya Allah, dah besar rupanya anak bujang saya. Tetapi saya tidak halang kerana saya kenal kawan-kawan Danial. Irfan pula dah bangun. Duduk di tepi katil bermain game. Mulalah mulut saya bising. Irfan terus letak tepi ipadnya dan lakukan apa yang saya minta dia lakukan.

Selesai kerja yang dilakukan, saya minta Irfan dan Danial buat latihan mereka. Ini rutin wajib setiap hari. Saya tahu Irfan dan Danial bukannya anak yang pandai tetapi saya yakin usaha mampu menjadikan mereka cemerlang juga. Insya Allah dengan izin Allah, saya doakan mereka berjaya.

Dipendekkan cerita selesai masak bubur Alya, sidai baju dan siapkan apa yang perlu, kami semua bergegas ke Shah Alam. Saya perlu ke Agensi Hartanah bagi mempelajari langkah-langkah yang betul apabila menjadi seorang  Perunding Hartanah. Sampai saja saya di sana,

Suami saya kata "takpe la, biar papa jaga anak-anak" saya risau Alya nak susu tapi suami kata jangan risau. Sebab dia dah tahu macam mana nak jaga Alya. Gembira saya kerana suami saya kini sangat memahami dan membantu saya. Maka, saya pun naiklah ke pejabat dan suami bawa anak-anak meronda di sekitar Shah Alam.

Sampai saja di pejabat, maka saya mula belajar ilmu-ilmu berkaitan hartanah. Kagum. Itu saja ayat yang saya mampu katakan kepada guru saya. Orangnya sangat merendah diri dan bahasa yang digunakan setiasa seimbang dengan orang yang bercakap dengannya agar kita rasa selesa dengannya. Dia mampu membuat jualan rumah lebih 30 biji rumah bulan lepas. Katanya semua itu bukan berlaku kerana nasib tetapi kerana sistem. Sistem itu yang membuatkan orang itu berjaya dalam bidang hartanah. Saya terkagum kali kedua. Betul.

Kesimpulan apa yang saya belajar hari ini adalah sistem yang betul. Ilmu hartanah itu sampai bila-bila tidak akan habis tetapi perkara yang paling penting adalah marketing. Jujur dan bertanggungjawab adalah pakej yang perlu ada dalam diri Perunding Hartanah. Padat ilmu hari ini yang saya dapat. Selama 4 jam sesi pembelajaran.

Hampir jam 6.00 petang selesai. Saya turun ke bawah. Saya lihat suami dan anak-anak telah ada di bawah. Baiknya En. Suami. Sabar je. Memang tidak dinafikan, suami saya memang seorang yang penyabar. Nasib baik Alya tak meragam.

Saya tanya suami "Ronda mana tadi? Nape tak naik atas?"

Suami jawab "Jalan-jalan Giant, makan KFC"

Saya jawab "Wahhh seronoknya. Patut la tak nak naik atas"

Suami terus memandu. Suami kata nak cari baju raya sebab puasa dah nak dekat. Kami dah beberapa tahun buat seperti ini. Cari baju raya sebelum puasa. Memang tak larat nak cari masa puasa. Lagipun bulan puasa, saya nak fokus bercinta dengan Allah lebih sikit. Takut Ramadhan akan datang saya tak sempat nak merasa nikmat pahala Ramadhan. Saya bukan manusia sempurna. Penuh dengan dosa. Bangun pagi saja saya telah penuh dengan dosa. Saya takut. Perjalanan di Masyar lebih hebat perit berbanding di dunia. Masya Allah, saya takut.

Ohh terlebih tazkirah pula. Sambung semula. Dalam perjalanan ke  Curve, saya kongsikan apa yang pelajari tadi. Seperti biasa, suami hanya akan jawab "ha ha ha" tapi saya akan terus cakap dan cakap. Kalau suami tak respon kadang-kadang saya merajuk juga. Nak suruh suami saya cakap senang saja. Saya diamlah nanti dia mesti tanya

"kenapa mama diam" hahhh....masa itu mulalah mulut saya bercerita saja. Sampai saja di Curve, suami park kereta di Ikea. Wahhh.....tengok Ikea macam memanggil-manggil je kan. Hajat nak singgah juga. Biasalah orang perempuan.

Kami ronda dan ronda tapi satu seluar budak lelaki pun tak jumpa. Susahnya nak cari saiz. Baju dah beli minggu lepas. Seluar yang susah nak cari. Kaki pun dah penat. Akhirnya, suami kata;

"Jom la kita pegi makan kfc. Kita cari minggu depan pulak" Maka, kami pun segera keluar dari sana dan terus cari makan. Perut dah lapar. Tekak pun dah kering sangat ni.

Selesai makan, kami terus pulang. Penat. Saya lihat suami pun kepenatan juga tetapi dia diam saja. Saya tahu dia tidak  mahu saya serba salah. Saya pandang saja muka suami yang sedang memandu pulang. Dalam hati kata 'Tq pa. Jangan risau, mama akan bantu papa nanti'. Saya senyum sambil pegang jari jemari suami. Suami pandang saya sambil bertanya;

"kenapa?" "Takde apa-apa" saya jawab. Saya senyum lagi. Kemudian saya merenung ke luar tingkap. Malam semakin gelap.

Hari ini seharian saya di luar tetapi saya suka apa yang saya buat kini. Sesuai dengan keadaan saya yang ada anak kecil dan sesuai dengan kehendak diri seorang ibu dan surirumah.

Oklah, itu saja saya nak kongsikan. Gigih ye anda baca sampai habis. Tak ada apa yang menarik pun sebenarnya. Hanya kisah catatan seorang surirumah yang suka membebel di blognya sendiri je. Semoga anda semua tak jemu membaca.

Sekian catatan saya.

Selamat malam.

By,
Zeela Lamin
Perunding Hartanah
Propland

#perundinghartanah
#zeelalamin
#propland
#catatanharian
#blogger

No comments:

Post a Comment