Sunday, September 20, 2015

Kembali Bangkit Walaupun Bersedih.





Ini kisah sewaktu saya kecil.

Kisah ini hanya sesuai dibaca oleh anak-anak yang telah mengalami perceraian ibubapa. Saya berkongsi pada semua orang agar jangan mudah merasa hidup seperti dihujung dunia andai sesuatu itu bukan seperti yang kita mahu. Kembali bangkit walaupun bersedih.


Pagi ini, hati saya tiba-tiba teringatkan zaman kanak-kanak saya. Ianya berpunca apabila semalam saya berkemas dan terjumpa surat-surat lama yang saya kirimkan kepada mama saya sewaktu kecil.


Apabila terjumpa surat-surat lama, saya teringat lagu yang jadi peneman setia sewaktu kecil saya. Sebenarnya, bila saya duduk termenung seorang diri, saya akan menyanyi perlahan lagu ini. Airmata pasti mengalir perlahan. Saya sapu airmata supaya tiada siapa yang perasan.


Saya berutus surat kepada mama sejak saya berumur 7 tahun lagi. Mama siapkan sampul surat dengan alamat dan setem kepada saya dan adik-adik. Mama pesan kepada saya "tulis dan hantar surat kepada mama walaupun sebaris ayat".


Ye, saya masih ingat pesan mama sehingga kini yang meminta saya menulis sebaris ayat. Saya ikut kata mama walaupun pada masa itu saya tidak memahami mengapa. Hanya perasaan rindu yang sangat dalam pada mama.


Ianya suatu yang sangat menyiksakan apabila terpaksa berpisah dengan mama. Pada masa itu, persoalan sering hadir dalam diri, mengapa saya tak boleh tinggal dengan mama? Kenapa mama dan papa tak boleh duduk bersama? Saya tidak mengerti sewaktu usia saya sekecil itu. Saya rasa hidup tidak sempurna tanpa ibubapa. Saya rasa hidup tidak lengkap. Banyak dan terlalu banyak persoalan yang timbul di kepala saya sewaktu itu yang tidak memahami tentang kehidupan pada masa itu.


Papa dan mama berpisah sejak saya berusia 5 tahun. Saya tidak mengerti apa-apa pada masa itu. Adik-adik pun kecil. Pada masa itu, saya tinggal bersama dengan mama. Ianya indah pada masa itu walaupun saya masih tidak memahami mengapa papa tiada bersama kami.


Semasa saya berumur 6 tahun, saya tiba-tiba diambil oleh papa tanpa mama ketahui. Saya meronta dan menangis ingin lepaskan diri. Tetapi apalah kekuatan saya ketika itu. Saya dan Sufi adik saya diambil oleh papa. Kami dibawa pergi jauh.


Banyak perkara telah terjadi sewaktu kami dibawa papa. Ianya tak mudah bagi kami. Banyak kisah sedih dan banyak juga cerita gembira zaman kanak-kanak kami. Tak mudah juga untuk papa menjaga kami. Seorang anak pasti perlukan ibu dan seorang suami pasti perlukan isteri. Tetapi tak mudah seorang ibu menerima anak yang bukan dari zuriatnya sendiri. Saya dan Sufi dijaga dari tangan ke tangan. Saya berterima kasih kepada mereka yang dahulu menjaga kami dengan baik.


Beribukan tiri dan berbapakan tiri juga bukan mudah tetapi saya terima dengan redha. Dulu saya seorang pendiam. Saya banyak mendiamkan diri. Saya selalu pesan diri saya bahawa saya perlu jaga adik-adik saya, Sufi dan Hakim kerana saya sering beranggapan bahawa saya tiada ibubapa pada masa itu. Saya perlu berdikari.


Saya dewasa sebelum usia. Ianya baik buat saya. Apa yang saya ceritakan bukanlah untuk memberi kesedihan atau memberi pendapat negatif bahawa perceraian ibubapa tidak bagus dan ibu atau bapa tiri adalah tidak boleh dalam kamus hidup anak-anak. Bukan begitu.


Sebenarnya kita perlu bersyukur kerana Allah sayang kita. Sebab itu, Dia uji kita. Dia beri kita kasih sayang dengan ujian. Kita perlu redha dengan setiap ujian yang datang, kemudian barulah bahagia datang. Ya, mungkin ada yang akan berkata 'tak bahagia-bahagia pun, dah bertahun dah ni', sabar, memang bertahun. Kadangkala berpuluh tahun. Saya dan adik-adik nikmati bahagia setelah dewasa. Lama kami tunggu. Jangan pernah kecewa dengan apa yang Allah beri. Allah sayang kita.


Pasti ada adik-adik yang bertanya bagaimana saya tangani kesedihan sewaktu kecil. Semasa kecil, saya suka buat sesuatu benda bersorok-sorok. Saya tak suka orang tahu apa saya buat. Saya ada diari. Setiap hari saya luahkan apa yang saya rasa dalam diari saya.


Selepas maghrib, saya mesti mengaji, tak pernah saya tinggal mengaji. Hati saya jadi tenang dengan baca Al-Quran. Saya juga suka solat dalam gelap dengan cahaya yang kecil. Ianya beri saya penuh khusyuk dan tenang sehingga saya merasakan kehadiran Allah disisi. Saya akan menangis sepanjang solat saya. Dalam sujud, saya akan menangis, saya akan mengadu pada Allah setiap kesedihan saya. Selepas solat, hati saya tenang.


Saya gembira bila saya buat perkara-perkara ini. Selepas saya buat semua ini, saya akan jadi bersemangat. Kemudian akan panggil adik-adik, 'Sufi, Hakim, jom main'. Ini kisah saya sewaktu kecil yang saya ringkaskan. Yang penting saya sayang mama saya dan adik-adik saya. Walaupun adakalanya kami berselisihan faham, tetapi saya selalu sayang mereka.


Jangan bersedih dan jangan cuba menolak ketentuan Allah. Doa, terima dan redha kunci ketenangan hati.


p/s: Mama tag anak mama Danial Faizal supaya anak mama sayangi keluarga kita. Hargai apa yang ada.

No comments:

Post a Comment