Friday, October 9, 2015

Andai Bersedih, Allah Tempat Mengadu


Pernah tak anda bersedih? Pernah tak anda rasa hidup ini bagai tidak adil buat anda? Pernah tak anda kecewa dengan apa yang berlaku kepada anda? Pernah tak anda kecewa dengan keluarga, kawan, adik beradik atau sesiapa saja dalam hidup anda? Pasti ada bukan. 

Saya pun pernah melalui perkara yang sama. Siapa tidak pernah merasa sedih. Pasti ada. Antara sedar atau tidak. Saya pernah melalui satu proses yang saya sangat bersedih sehinggakan saya rasa tidak mampu untuk terus hidup. Ye, pernah bersedih sehingga ke tahap itu. Tetapi apa yang saya buat? Saya mengadu dengan Allah.


Pada masa itu hanya Allah saja yang tahu betapa sedihnya saya, betapa menderitanya saya dan betapa kecewanya saya dengan apa yang terjadi. Hanya Allah saja yang tahu. Hanya di depan Allah saja saya mengadu dan menangis. Selepas saya menangis, selepas saya mengadu, masya allah, Allah juga yang tahu betapa tenangnya hati saya selepas itu. Setelah itu, saya mampu berdepan dengan orang. Mampu untuk bertenang.

Semua ketenangan saya dapat setelah saya mula berhijrah. Setelah saya mula mendalami ilmu-ilmu agama. Bukan kata saya tidak tahu tentang Islam tetapi saya tetap ingin terus belajar.

Setiap kali saya bersedih, saya berkata dalam hati "pasti aku juga berbuat salah, maka Allah beri aku kesedihan supaya aku kembali mengadu kepada Allah" Sungguh saya bersangka begini terhadap diri saya. Saya pasti berbuat dosa sehingga saya bersedih begini. Ye, dalam kehidupan seharian, setiap hari kita melakukan dosa. Setiap hari. Pada saat kita lupa Allah saja, kita telah berdosa. Apakan lagi perkara lain-lain. Saya segera berbuat solat taubat dua rakaat. Istighfar sucikan diri. 

Mengapa kini saya memilih mengadu kepada Allah? Mudah jawapannya. Ini kerana saya pernah membuat silap satu masa dahulu. Saya pernah bersedih satu masa dahulu. Maka, saya mengadu kepada orang. Memang perasaan itu seperti lega. Seperti terkeluar apa yang terbuku dihati. Tetapi apa yang terjadi. Perkara menjadi kucar kacir. Apa yang saya ceritakan disampai-sampaikan ceritanya kepada orang tersebut. Lebih menyedihkan, cerita menjadi lain dari sebenarnya dan akhirnya hubungan menjadi renggang dan hati yang sebelum ini merasa tenang dan lega selepas meluahkan perasaan kembali tidak tenang. Akhirnya, masalah berganda.

Sejak daripada itu, saya elakkan dari bercerita dengan ornag lain. Andai ada yang bertanya mengapa saya bersedih. Cukup hanya saya beritahu sedikit sahaja untuk membuat orang tidak salah faham. 

Dahulu saya pernah bersedih dengan seorang rakan saya. Saya memberitahu kepadanya mengenai penyelewengan yang berlaku tetapi dia tidak memilih untuk percaya kepada saya dan berpihak kepada orang tersebut. Saya sedih pada ketika itu. Lebih-lebih lagi kebankrapan yang saya hadapi akibat daripada mereka ini. 

Bersangka baik dengan perancangan Allah. Itu saja yang saya pegang. Allah tak izinkan perkara itu berlaku jika ianya bukan sesuatu yang baik buat kita. Setelah itu, saya bersyukur kerana Allah menarik keluar orang-orang sebegini dalam hidup saya. Berpegang dengan pegangan ini buatkan hati saya amat tenang.

Sungguh kata saya, andai bersedih, Allahlah tempat mengadu.

No comments:

Post a Comment