Friday, October 9, 2015

Awal Muharam - Mari Berazam Menjadi Lebih Baik



Salam semua. Semoga kita semua sihat, dirahmati dan diredhai Allah setiap perkara yang kita lakukan di muka bumi ini. Pantas sungguh masa berlalu bukan? Pejam celik, pejam celik, kita telah tiba di penghujung akhir tahun. Ehh, yeker. Bukan sekarang ini baru bulan Oktober. Betul, kita di bulan Oktober mengikut kalendar yang kita gunakan sekarang tetapi di dalam kalendar Islam, kita telah hampir penghujung tahun. Syukur alhamdulillah bukan, kerana kita masih lagi aman dan masih lagi Allah izinkan untuk kita bernafas dan masih lagi bernyawa.


Sejak saya mula berhijrah, saya sentiasa cuba untuk memperbaiki diri. Semakin banyak saya belajar, semakin kerdil terasa diri ini. Masya Allah, selama ini saya terasa sungguh jahil tetapi Allah beri banyak peluang kepada saya untuk perbaiki diri saya. 


Saya kini pelajari untuk mengikuti segala apa landasan Islam yang sebenarnya. Berjaya bukan hanya di dunia tetapi akhirat juga. Itu matlamat saya kini. Awal Muharam semakin tiba. Saya didik diri sendiri untuk meletakkan matlamat dunia dan akhirat. Ianya bukan satu perkara yang mudah bagi saya. Ianya menuntut istiqomah yang berpanjangan. 


Sebagaimana adat dan kebiasaan yang biasa kita lakukan setiap kali hujung tahun, pasti kita menanam azam untuk tahun hadapan. Tetapi di dalam Islam, kita dituntut membuat azam, memohon ampun dan berdoa sebelum tibanya Awal Muharam. 


Pasti ramai yang mengamalkan Doa Awal Tahun dan Doa Akhir Tahun. Terus terang saya katakan, saya benar-benar mengamalkan dengan penuh penghayatan sejak saya mula berhijrah. Sebelum ini sekadar baca dan amalkan sahaja. Apabila saya menghayati, saya bersujud, berdoa dan menangis di hadapan Allah. Terlalu banyak dosa-dosa yang saya lakukan. Masya Allah, saya sangat jahil satu ketika dahulu. 


Saya ingin berkongsi saham akhirat yang baru saja saya dapat dari ibu saya. Selain dari mengamalkan Doa Awal Tahun dan Doa Akhir Tahun, kita digalakkan membaca bismillahirahmanirrahim sebanyak 12,000 kali dalam tempoh 10 hari bermula hari pertama Awal Muharam. Bermakna 1 hari bersamaan 1,200 bismillah. Banyak manafaat untuk diri kita. 


Semoga kita sama-sama berhijrah dan istiqomah. Syurga sedang menanti kita kerana dunia hanya sementara saja. 

No comments:

Post a Comment