Friday, October 9, 2015

Dulu Pelajar, Kini Guru



Bismillahirahmanirrahim.


Hari ini saya rasa nak sangat saya berkongsi tentang kisah jahit menjahit ini. Bagaimana seorang wanita bekerja pejabat yang selama ini yang suka bergaya, bertumit tinggi dan hanya melakukan tugas-tugas pejabat boleh bertukar angin kepada Tukang Jahit dan akhirnya kini menjadi seorang Guru Jahit. Aneh bukan?


Ye, sungguh aneh bila dengar. Sepatutnya apabila saya berada bekerja, pasti saya mempunyai impian untuk mendaki tangga korporat bukan? Tetapi mengapa saya memilih untuk menjadi Tukang Jahit. Jawapannya mudah saja. Ini semua aturan Allah. Saya sendiri tidak pernah merancang untuk semua ini. Tetapi saya percaya Allah telah menjawab doa saya selama ini. Allah tahu apa yang terbaik untuk saya. Syukur alhamdulillah.


Semuanya bermula pada tahun 2012. Sewaktu itu saya masih lagi bekerja tetapi saya dapat merasakan bahawa saya tak akan mungkin dapat bekerja lagi. Saya mula menyusun langkah persediaan sebelum saya bergelar surirumah. Saya mula daftar belajar menjahit. Kebetulan waktu itu saya telah mula ingin berhijrah. Dahulu saya tidak bertudung.


Apabila berhijrah, saya menghadapi masalah memilih baju. Kebanyakan baju-baju yang dijual pada waktu itu, semuanya mengikut badan. Saya rasa tidak selesa. Bila mencari baju-baju yang longgar, semuanya mahal-mahal belaka. Macam tidak berbaloi nak beli. Ye, saya sangat berkira-kira bila nak berbelanja. Jadi, saya sangat tertekan kerana saya adalah seorang yang suka bergaya. Pilih baju ini tak kena, pilih baju itu pun tak kena. Semuanya serba tak kena sehinggalah saya terlihat iklan belajar menjahit. Pada waktu itu trend jubah baru saja bermula. Market dan pasaran pun masih muda lagi dan saya anggap belajar menjahit jubah itu lebih mudah daripada belajar menjahit baju kurung.


Semasa saya mula belajar, saya rasa nak menangis. Ya Allah, susahnya nak jahit baju. Betul, saya rasa panik sangat tetapi keinginan nak belajar itu tinggi. Jadi, saya kuatkan diri untuk belajar jahit. Masya Allah, saya gembira sangat lepas itu. Bayangkan satu hari saja saya boleh belajar jahit baju. Macam tak percaya. Orang yang langsung tak ada 'basic' pun boleh pandai jahit.

Saya kagum sebentar dengan diri saya. Keesokan harinya saya pakai baju yang saya buat. Semua cakap cantik. Mereka mula tanya beli di mana? Saya jawab yang saya jahit sendiri. Mereka terkejut. Macam tak percaya saya boleh jahit baju. Maka, mereka bersemangat dan beriya-iya nak tempah baju. Sekali lagi saya panik. Nak ambil tempahan? Saya garu kepala sebentar tapi saya tak tahu macam mana nak tolak. 


Maka bermulalah kisah saya menjadi Tukang Jahit. Sebenarnya saya tak pernah terfikir nak belajar jahit untuk menjadi Tukang Jahit dan seterusnya mengambil upah jahit. Saya belajar sebab saya nak buat baju saya sendiri saja. Buat jubah mengikut selera saya sendiri dan pilih kain untuk buat jubah juga mengikut selera saya sendiri. Itu matlamat sebenar saya.


Rupanya bila kita pandai jahit, kita tidak boleh lari dari orang yang nak tempah dengan kita. sehinggakan ada yang saya terpaksa tolak. Sedih mereka tetapi saya terpaksa tolak ketika itu kerana tempahan terlalu banyak.


Daripada bermula belajar jahit kemudian mengambil tempahan jahit, saya mengambil langkah untuk mem'branding'kan pula. Saya mula serius dalam bisnes saya apabila semakin ramai yang berminat dengan baju-baju yang saya buat. Bermula kecil dari tiada modal, saya cuba meletakkan bisnes saya setaraf bisnes terkenal. Maka lahirlah ARAMAYA


Dalam tempoh saya menjual dan masih juga mengambil tempahan, saya terasa bagai ingin beri lebih nilai dalam hidup orang. Saya pasti di luar sana pasti pernah hadapi masalah seperti saya dalam mencari baju yang sesuai dengan jiwa. Maka, saya mula melahirkan JAHIT BY ARAMAYA. Masih di bawah ARAMAYA tetapi saya lebarkan sayap kepada mengajar orang menjahit pula. Saya puas dapat mengajar orang. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak berapa baik, pasti ramai yang ingin berjimat atau ingin belajar menjahit untuk menambah pendapatan.


Alhamdulillah, saya bersyukur dengan setiap rezeki dari Allah. Perkara yang tidak pernah terjangka dalam fikiran saya sebelum ini untuk cenderung kepada bidang jahitan dan fesyen. Inilah kisah saya, dulu belajar jahit, kini menjadi guru jahit.


Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai kelas JAHIT BY ARAMAYA boleh layari Facebook ARAMAYA untuk maklumat sepenuhnya.


No comments:

Post a Comment