Ini mama saya. Nampak muda kan mama. Tahun ini mama genap 61 tahun. Mama dah tua dah tapi mama tetap nampak muda. Apa rahsia mama? Ermm...banyak rahsia tapi tak tahu nak mula dari mana.
Mama memang sangat menjaga penampilan diri dan kesihatan. Mama kata dah kahwin lagi kena jaga. Lagi kena berhias. Kalau tak suami jemu. Macam-macam nasihat mama beri. Mama memang suka bagi nasihat. Pernah satu hari tu mama tertunduk-tunduk inaikan rambut.
Sufi, adik saya tanya,
"Buat apa mama nak inai rambut. Mama kan pakai tudung. Bukannya orang nampak"
Mama jawab apa tau,
"Mama buat bukan untuk orang lain tengok tapi untuk self satisfaction. Suami pun kena tengok kita cantik"
Hahh....cakap omputih gituh mama. Jadi, mama memang macam tu. Jangankan kata diri sendiri dia jaga. Rumah pun dia akan pastikan semua kemas dan rapi. Kejap-kejap kemas, kejap-kejap lap. Sampaikan kami yang rasa penat tengok mama. Tapi disebabkan ajaran dan cara mamalah kami semua ikut cara mama. Kena kemas, kena bersih dan kena nampak cantik.
Ok, sebenarnya saya bukan nak cerita pasal tip jaga badan, tip jaga diri atau tip jaga rumah. Saya hari ini nak cerita pasal mama. Tentang diri mama. Tentang semangat mama. Tentang hidup mama. Kerana dari kisah hidup mama lah telah banyak memberi inspirasi dan semangat hidup bagi kawan-kawan saya yang dah putus harapan untuk teruskan hidup kerana perceraian. Saya selalu kongsikan kisah mama untuk mereka kembali bangkit.
Mama masih bekerja. Bukan seorang suri rumah. Dan mama bukan orang yang senang. Kerja pun dulu-dulu bukan gaji besar. Biasa-biasa saja. Mama pernah menjadi ibu tunggal. Erti kata lain mama pernah bergelar janda. Tahun 80an dulu, perkataan janda ini macam satu perkataan yang kotor. Bak kata, orang dulu-dulu memang pandang hina dengan orang yang dah bergelar janda. Adik beradik pun kalau boleh tak mengaku adik beradik. Tak macam sekarang. Janda tu macam biasa saja orang pandang.
Mengapa mama jadi janda? Dah ditakdirkan perjalanan hidup mama macam tu. Mama pun masih muda ketika itu. Umur 25 tahun telah bergelar janda. Mama pun tak pernah nak jadi macam tu tapi mama tak mampu nak tolak takdir. Mengapa saya cerita tentang kisah mama? Saya bukan nak cerita kenapa dan sebab mama menjadi ibu tunggal tetapi apa yang saya nak cerita adalah semangat mama.
Mama mempunyai semangat yang kuat. Segala apa yang terjadi pada mama, mama tak pernah rasa lemah. Mama tak pernah nak meratap lama. Tapi, mama selalu bangkit. Saya selalu pinjam semangat mama. Tak ramai yang saya lihat seorang ibu yang ada semangat seperti mama. Mama lalui terlalu banyak rintangan. Terlalu banyak ujian.
Saat mama dicaci orang yang terdekat, mama tetap kuat. Saat mama dipisahkan dari kami anak-anak mama, mama tetap kuat. Saat mama diuji orang sekeliling, mama tak pernah mengalah. Mama sangat kuat hadapi semua. Sebab itu juga disebabkan sikap mama, saya suka lihat wanita yang kuat dan tidak bergantung dengan siapa-siapa tetapi Allah. Saya memang suka lihat wanita yang bersemangat kerana saya akan teringat mama.
Saya tahu mama menangis. Saya tahu mama sedih. Tapi mama tak pernah tunjukkan pada kami. Mama selalu tunjuk yang mama ok. Perkara yang paling sedih saya pernah rasa adalah saat mama dapat jumpa kami semula setelah papa ambil kami semua tanpa pengetahuan mama. Saya tahu mama macam nak gila tapi mama tabah. Mama tolak semua sedih dan cari kami. Bila dapat jumpa kami semua di rumah saudara sebelah papa, saya boleh lihat muka mama gembira tapi ditahankan airmata. Saya pun tahan juga airmata sebab saya kakak sulung kena kuat juga tapi adik-adik saya meraung-raung menjerit nama mama. Dah macam jejak kasih ketika itu. Jeritan adik-adik kedengaran sehingga jalan besar. Sunyi. Sepi. Siapa yang pandang kami ketika itu pun tak mampu kata apa-apa. Hanya mampu tahan airmata. Suasana ketika itu sedih sangat. Sampai sekarang saya boleh rasa.
Apabila mama dapat ambil kami semua, saya tahu mama gembira sangat. Kami tinggal di rumah yang mama dapat beli hasil kerja mama. Rumah pun tak besar mana tapi kami pun gembira sebab dapat tinggal dengan mama.
Mendidik anak juga bukan mudah buat mama yang masih bekerja. Saya tahu mama penat. Tapi mama kata mama suka buat semua tu. Mama kata mama gembira bila semuanya kemas dan teratur. Mama tak pernah putus asa atau mengeluh. Semasa kami kecil, mama selalu pesan yang pelajaran itu penting. Mama akan beli juga buku aktiviti belajar dan mama akan pastikan kami buat latihan setiap hari. Mama memang sangat tegas tentang pelajaran. Mama tetap bersemangat jalankan tanggungjawab mama.
Sehingga sekarang pun mama masih seperti itu. Mama selalu pesan kepada kami. Bila dah jadi mak, kita tak boleh malas. Kena rajin jaga anak, jaga suami dan jaga keperluan keluarga. Mama selalu pesan supaya kami perlu didik anak-anak. Perlu terapkan pada anak-anak betapa pentingnya pelajaran. Kini giliran cucu pula mama akan bising mulut pasal pelajaran. Bila balik rumah mama, anak-anak saya pasang telingalah. Saya dah biasa dengan kata-kata mama. Sejak awal saya kahwin mama akan pesan macam-macam. Kena berhias depan suami walaupun dalam rumah, kena jaga anak bersih-bersih, rumah kena bersih. Itu ini macam-macamlah. Walhal, mama tak tahu yang kita dah terbiasa dengan cara mama. Tak pesan pun memang akan buat macam mama juga.
Bila sedih, saya mesti ingat mama. Bila hilang semangat saya mesti ingat mama. Mama selalu tenangkan saya dengan kata-kata semangat. Mama selalu pesan jangan patah semangat. Sampaikan saya selalu jadi orang yang bersemangat. Sampai orang selalu fikir saya ini seperti tidak ada sebarang masalah. Sentiasa gembira.
Kini mama sudah 61 tahun. Tak tahu berapa lama mama usia mama. Doa saya semoga saya dapat gembirakan mama sebelum mama pergi. Mama kini pun dah berjinak-jinak belajar agama di masjid. Mama kata mama takut amalan tak cukup. Alhamdulillah, mama kini semakin tenang. Berkat sabar dan punya hati yang baik, mama kini gembira dengan anak-anak mama.
Kalau mama nak tahu, Zeela selalu pinjam semangat mama. Terima kasih kerana lahirkan dan besarkan Zeela. Selamat hari ibu mama.
No comments:
Post a Comment